Sabar Adalah Ciri Seorang Mukmin
Friday | 3:09 PM | 0 comments
Sabar...
satu perkataan ringkas yang memberi impak yang besar pada diri manusia. Sifat
sabar ini berjaya 'memandu' tindakan manusia dalam kehidupan seharian. Adanya
sifat sabar ini membolehkan ramai manusia hidup dalam keadaan aman damai
seperti sekarang.
Dengan sifat sabar ini, seorang
guru mampu terus menjadi seorang guru walaupun berhadapan dengan ragam pelajar
yang bermacam-macam karenah.
Dengan sifat sabar ini, seorang ibu mampu
membesarkan anak-anak yang ramai walaupun ketika kecil, anak-anak biasanya
sangat nakal dan tidak mendengar kata kerana mereka masih tidak mengerti
kata-kata ibunya.
Dengan sifat sabar ini, hubungan
persahabatan terus berkekalan walaupun kadang-kadang dalam bersahabat, kita
selalu diuji dengan sikap rakan yang mengundang rasa kecil hati.
Dengan sifat sabar ini, ramai
manusia telah berjaya menjadi orang hebat kerana berjaya melalui pelbagai
kesusahan ketika menuntut ilmu.
Dengan sifat sabar ini juga, suami dan
isteri terus bahagia menjalani kehidupan walaupun setiap pasangan biasanya akan
diuji sepanjang berada di alam rumah tangga. Kata orang, 'sedangkan lidah
lagikan tergigit, inikan pula suami isteri'.
Cuba kita
bayangkan situasi dimana sifat sabar ini sudah tidak ada langsung dalam diri
manusia, walaupun sekelumit.
Tanpa sifat sabar, bilangan
guru akan berkurang kerana ramai orang yang tidak sanggup lagi menjadi guru
untuk melayan karenah pelajar yang kadang-kadang mengundang rasa marah dan
sedih di hati.
Tanpa sifat sabar, anak-anak
kecil akan membesar dalam keadaan yang tegang tanpa kasih sayang kerana tidak
ada lagi sifat sabar dalam diri ibu bapa dalam sepanjang membesarkan anak-anak
kecil yang masih tidak mengerti.
Tanpa sifat sabar, hubungan
persahabatan tidak lagi seindah yang dirasakan sekarang kerana setiap orang
tidak dapat bersabar lagi dengan sikap rakan masing-masing dan tiada lagi sifat
sabar dalam diri yang mendidik hati berlapang dada dan saling memaafkan.
Tanpa sifat sabar, tiada
lagi lahirnya orang-orang hebat kerana semua orang tidak sanggup menghadapi
kesukaran ketika belajar dan berputus asa saat-saat diuji dengan kesukaran.
Tanpa sifat sabar, alam
rumah tangga tidak akan bertahan lama kerana tiada lagi sifat sabar dalam diri
pasangan masing-masing untuk bertolak ansur antara satu sama lain.
Firman
Allah S.W.T yang bermaksud:
Maka bersabarlah (wahai Muhammad terhadap ejekan golongan yang kafir itu), dengan cara kesabaran yang sebaik-baiknya. (Surah Al-Ma'aarij:ayat 5)
Ya, saya
suka ayat ini. Ketika sedang menahan marah dan menahan sedih, ayat ini
benar-benar memberi motivasi kepada saya. Bagaimana Allah memerintahkan kita
untuk bersabar, malah bersabar dengan kesabaran yang baik.
Sememangnya
dirasakan sabar ini merupakan sesuatu yang sangat perit sehingga kadang-kadang
hati kita mengeluh.
" Asyik sabar je,
penat dah sabar ni!"
Kita
tidak perlu fikirkan lagi, mengapa kita bersabar dan berapa kali kita bersabar
dalam hidup ini kerana saya ingin mengajak anda melihat apa yang dapat kita
peroleh dari sifat sabar ini.
Apabila
kita bersabar, kita sebenarnya dianugerahkan satu rasa yang tidak semua orang
mampu merasainya, iaitu rasa ketenangan. Ketenangan ini bukan semua orang mampu
merasainya melainkan orang-orang yang menjalani kehidupan mengikut apa yang
Islam anjurkan. Percayalah dengan sifat sabar ini, dalam keadaan tidak sedar
kita telah menyelamatkan banyak hubungan persahabatan daripada terputus, dengan
sifat sabar ini kita boleh hidup aman damai seperti sekarang, dengan sifat
sabar ini kita menjadi dewasa sehingga kini. Lihatlah betapa besarnya impak
sabar untuk menjadi kehidupan harmoni.
Untuk anda yang sedang diuji, dalam hati ini hanya ada dua
pilihan, sama ada nafsu ataupun iman. Jika
menang nafsu, maka kalahlah iman, jika menang iman maka musnahlah nafsu. Kita yang
perlu menilai dan memilih. Apabila diuji, kita mahu memilih nafsu untuk terus
marah, atau kita memilih pilihan yang paling tepat iaitu iman dan sabar. Lihat
pada impaknya, jika kita memilih untuk marah, hati kita akan dikuasai rasa
marah yang menghilangkan rasa tenang, malah boleh jadi kita bertindak diluar
batas fikiran kita yang akhirnya memberi kesan negatif pada kehidupan kita
ketika itu. Namun, jika kita memilih untuk bersabar, insyaAllah kita diberi
ketenangan untuk membantu kita mengambil tindakan yang tidak memburukkan lagi
keadaan.
Saya bagi
satu contoh yang mudah. Ditakdirkan anda terpaksa menjalani kehidupan dengan
seorang rakan yang sangat pentingkan diri sendiri. Setiap tindakannya pasti
memberi kebaikan pada dirinya dan kita sentiasa menjadi mangsanya. Setiap
perbuatan dan kata-katanya sentiasa membuat kita berkecil hati. Disini, anda
hanya ada dua pilihan, memilih untuk terus bersabar dan bertahan sepanjang anda
menjalani kehidupan dengannya, atau anda memilih untuk bermasam muka dengannya
akibat sakit hati yang menguasai diri. Jika anda memilih untuk bersabar, anda
mampu menjaga keharmonian persahabatan dengannya, namun jika anda memilih untuk
bermasam muka, pastinya memberi kesan yang tidak baik dalam hubungan
persahabatan itu sendiri.
Namun
sahabat, perlulah kita ingat bahawa kita ini manusia, kita bukan malaikat untuk
terus menjadi sempurna di mata orang lain. Sabar manusia itu ada juga batasnya
dan kadang-kadang orang yang paling banyak bersabar, sekali dia 'meletup'
huru-hara jadinya. Oleh itu, perlunya fungsi kita meletakkan diri kita ditempat
orang lain. Malah jika kita jenis yang pentingkan diri sekalipun, sebelum
bertindak, kita perlu berfikir bagaimana rasanya jika kita berada ditempat
orang yang teraniaya itu.
Sebelum
kita bunuh orang, cuba kita bayangkan diri kita menjadi orang yang dibunuh itu.
Sebelum
kita melemparkan kata-kata yang mampu mengguris hati orang lain, cuba bayangkan
diri kita yang dilemparkan kata-kata itu.
Jika kita
mampu meletakkan diri kita ditempat orang lain, saya yakin manusia tidak akan
menzalimi sesama manusia lagi.
Sabar itu
bukan perlu pada waktu-waktu tertentu sahaja, tetapi ia perlu setiap masa dan
dimana jua kerana hidup kita tidak pernah lari dari diuji dengan pelbagai jenis
dan bentuk ujian. Teruskan langkah dalam kehidupan ini tanpa menoleh ke
belakang lagi, kerana di depan sana ada syurga menanti kita. Cubalah memahami
untuk diri kita difahami, cubalah bertolak-ansur, supaya orang lain juga mudah
bertolak ansur dengan kita. Janganlah sentiasa mencari salah orang lain, supaya
orang lain tidak mencari salah kita. Nasihat ini untuk diri saya sendiri,
dan juga untuk kamu wahai sahabat.
Rasulullah bersabda : "Barangsiapa berusaha untuk SABAR maka Allah akan menjadikannya sabar, barangsiapa berusaha untuk menjadi kaya maka Allah akan mengayakannya, barangsiapa menjaga diri maka Allah akan memelihara dirinya, dan aku tidak mendapati untuk kalian rezeki yang lapang daripada sabar"
Sumber : iLuvislam.com